Tahap Pemahaman Pelajar Terhadap Kompetensi Global (6C) di Institut Pendidikan Guru
Keywords:
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna, Kompetensi Global (6C), Pemahaman, Institut Pendidikan Guru (IPG)Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengukur tahap pemahaman pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) terhadap teras Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB). Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan telah digunakan dalam kajian ini. Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik yang dihantar melalui google form. Soal selidik skala likert lima mata digunakan untuk mengumpul maklumat yang diperlukan untuk menjawab persoalan kajian. Seramai 369 responden yang terdiri dari pelajar di tiga buah IPG terlibat dalam kajian ini, iaitu IPGK Dato’ Razali Ismail, IPGK Tengku Ampuan Afzan dan IPGK Ipoh. Item-item soal selidik mengandungi enam teras Kompetensi Global (6C), iaitu character (sahsiah), citizenship (kewarganegaraan), collaboration (kolaboratif), communication (komunikasi), creativity (kreativiti) dan critical thinking (pemikiran kritis). Data yang diperoleh dianalisis menggunakan SPSS versi 23.0 untuk mendapatkan Cronbach Alpha dan min. Dapatan kajian menunjukkan tahap pemahaman pelajar terhadap kompetensi global (6C) adalah tinggi, iaitu 3.91. Secara keseluruhannya kajian ini menunjukan bahawa kompetensi global (6C) dapat dikuasai dan difahami oleh pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Guru. Adalah diharapkan mereka dapat mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi untuk mencipta pengetahuan baharu bagi kegunaan dalam profesion keguruan di masa akan datang. Lantaran itu, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seharusnya memastikan KPPB ini dilaksanakan secara menyeluruh agar pedagogi baharu ini menjadi budaya kerja di IPG.