Kompetensi Kemahiran Lisan dalam Kalangan Pelajar PISMP Bahasa Melayu SJKC

Authors

  • Nor Asiah Ismail IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang
  • Dzulkarnain Mat IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang
  • Mohd Nor Mohamed IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang

Keywords:

Kemahiran lisan, kompetensi bahasa, penguasaan bahasa

Abstract

Kajian ini memaparkan kompetensi kemahiran lisan dalam kumpulan pelajar PISMP Bahasa Melayu SJKC. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seharusnya dikuasai dengan cukup fasih oleh semua warganegara. Malangnya, situasi sebenar memperlihatkan potensi penutur bukan Melayu masih kurang lancar bertutur dan menguasai bahasa Melayu (Teo Kok Seong, 2014). Oleh itu, kajian ini perlu dilaksanakan untuk mengenal pasti kompetensi penguasaan lisan berdasarkan jenis kemahiran mendengar dan bertutur bagi kumpulan pelajar PISMP Bahasa Melayu ambilan Jun 2019. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Instrumen kajian yang diperlukan ialah borang pemerhatian aktiviti lisan, borang ujian lisan tahap penguasaan bahasa dan borang senarai semak penggunaan bahasa. Model kajian ujian lisan diadaptasi daripada Model Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) SPM Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) 2012. Dua aktiviti lisan yang diuji ialah melafazkan syair dan simulasi lakonan. Kriteria penskoran dinilai dari aspek tatabahasa dan kosa kata, sebutan, intonasi dan nada, kefasihan dan bermakna. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap penguasaan kemahiran bahasa di peringkat cemerlang, 10 baik dan 10 memuaskan. Jenis kemahiran lisan yang dikuasai pula ialah tatabahasa (5), kefasihan (4), sebutan, intonasi dan nada (2) dan bermakna (4). Aktiviti lisan yang lebih dikuasai oleh pelajar PISMP BM SJKC ialah simulasi lakonan lebih baik berbanding aktiviti melafaz puisi. Rumusan kajian membuktikan bahawa aspek yang perlu diberi perhatian dalam kalangan pelajar PISMP BM SJKC ialah kefasihan, sebutan, intonasi dan nada pertuturan. Oleh itu, disarankan agar guru bukan Melayu yang mengajar Bahasa Melayu di SJKC atau SJKT dapat memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di tempat yang sepatutnya.

Downloads

Published

30-11-2020