Pengetahuan Konseptual, Pengetahuan Prosedural dan Aras Kognitif dalam Topik Pecahan Murid Sekolah Rendah

Authors

  • Nooriza Kassim IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang
  • Effandi Zakaria Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
  • Mohd Sahardi Ismail IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang
  • Zulkifli Husin IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang

Keywords:

Pengetahuan konseptual, pengetahuan prosedural, pecahan, aras kognitif, Taxonomi Bloom disemak semula

Abstract

Pecahan merupakan salah satu topik yang sukar dalam pembelajaran matematik khususnya di peringkat sekolah rendah. Permasalahan pelajar dalam topik Pecahan sering dikaitkan dengan pengetahuan konseptual dan prosedural pelajar. Penguasaan kedua-dua pengetahuan ini pada aras kognitif yang lebih tinggi dalam topik Pecahan adalah satu keperluan yang selaras dengan penekanan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kurikulum matematik. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti tahap pengetahuan konseptual, pengetahuan prosedural, hubungan antara pengetahuan konseptual dan prosedural serta aras kognitif dalam topik Pecahan di kalangan murid peribumi sekolah rendah. Menggunakan kaedah tinjauan, seramai 91 orang murid peribumi daripada lima buah sekolah rendah terlibat dalam kajian ini. Instrumen yang digunakan adalah satu set ujian iaitu ‘Ujian Pengetahuan Konseptual dan Prosedural Pecahan’ yang mengandungi 20 item respon terhad yang telah dibina dan diubahsuai daripada kajian yang terdahulu. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dalam bentuk tinjauan untuk mengukur tahap pengetahuan konseptual dan prosedural, perhubungan antara pengetahuan konseptual dan prosedural dan aras kognitif murid dalam topik Pecahan. Data telah dianalisis dengan menggunakan perisian komputer melalui program Statistical Package for Social Science (SPSS) for Window version 21.0. Data dianalisis secara deskriptif berdasarkan peratus, min dan sisihan piawai untuk menentukan tahap pengetahuan konseptual dan prosedural. Pekali Korelasi Pearson digunakan untuk menentukan perhubungan antara pengetahuan konseptual dan prosedural. Dalam kajian ini, Taksonomi Bloom yang disemak semula digunakan untuk mengukur aras kognitif dan kemahiran berfikir dalam topik Pecahan. Frekuensi murid memberikan jawapan yang betul bagi setiap item mengikut aras kognitif direkodkan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan konseptual dan prosedural murid dalam topik Pecahan adalah sangat rendah. Ujian korelasi Pearson dengan nilai r = 0.677, sig. = 0.000 (p<0.001) menunjukkan terdapat hubungan positif yang besar antara pengetahuan konseptual dan prosedural murid. Sebahagian besar murid berada pada tiga aras kognitif terendah iaitu pada aras mengingat sehingga mengaplikasi bagi kedua-dua pengetahuan konseptual dan prosedural topik pecahan.

Downloads

Published

30-11-2019