Meningkatkan Kemahiran Menulis Jawi dalam Kalangan Pelajar Kolej Komuniti Chenderoh dengan Menggunakan Kaedah Mananiyah
Keywords:
Menulis Jawi, Kemahiran Jawi, Kaedah JawiAbstract
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menulis jawi dalamĀ kalangan pelajar kolej komuniti dengan menggunakan tiga langkah ajaib dalam Kaedah Mananiyah. Berdasarkan ujian pra kemahiran menulis jawi yang dijalankan hampir 60 peratus dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti Chenderoh yang tidak boleh membaca dan menulis tulisan jawi dengan baik dan lancar bahkan ada yang langsung tidak boleh membaca dan menulis jawi sekaligus mereka tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Kaedah Mananiyah dipilih oleh pengkaji kerana kaedah ini mempunyai beberapa kaedah yang mudah dan sesuai untuk semua peringkat. Untuk kajian ini, pengkaji hanya menfokuskan teknik gantian abjad rumi ke jawi dan tiga tingkah langkah ajaib sahaja untuk kemahiran asas tulisan jawi. Responden kajian ini adalah seramai 30 orang pelajar Kolej Komuniti Chenderoh yang mengambil kursus Modul Pendidikan Islam. Kaedah kajian yang digunakan ialah ujian pra dan ujian pasca merangkumi soalan kemahiran menukar dari huruf rumi kepada huruf jawi, ujian kemahiran mengubah kedudukan asal huruf tersebut dari kiri ke kanan kepada kanan ke kiri dan ujian kemahiran mencantum huruf jawi dengan betul supaya membentuk satu perkataan. Hasil kajian menunjukkan perbezaan nilai purata di antara Ujian Pra dan Pos. Nilai purata bagi Ujian Pra adalah 39.7 manakala nilai purata bagi Ujian Pos adalah 95.8. Perbezaannya adalah sebanyak 56.1. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa selepas pelajar menggunakan tiga langkah ajaib dalam Kaedah Mananiyah, pelajar dapat menguasai tulisan jawi dengan baik. Oleh itu, objektif bagi kajian ini adalah tercapai dan boleh diperluaskan penggunaannya kepada pelajar yang lain.