Pengajaran dan Pembelajaran dalam Talian: Kajian Kes terhadap Guru Bahasa Arab Sekolah Rendah

Keywords:

Pengajaran dan Pembelajaran dalam talian, Bahasa Arab, Sekolah Rendah

Abstract

Ekoran daripada pandemik Covid-19, kerajaan telah mengubah sistem pendidikan yang dahulunya konvensional secara bersemuka kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian. Arahan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara tidak langsung memberi cabaran kepada golongan guru untuk mengadaptasi norma baharu dalam pendidikan malahan memerlukan guru untuk menguasai kaedah pengajaran dalam talian yang berkesan. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti kepentingan PdP Bahasa Arab secara dalam talian di samping mengkaji kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru Bahasa Arab sekolah rendah semasa melaksanakan PdP dalam talian. Selain itu, pengkaji turut mengkaji cabaran guru Bahasa Arab sekolah rendah semasa melaksanakan PdP secara dalam talian. Kajian ini dijalankan secara kualitatif dan seramai tiga orang guru Bahasa Arab sekolah rendah telah dipilih menjadi peserta kajian. Data dikumpulkan melalui kaedah temu bual dan analisis dokumen. Data temu bual ditranskripsikan dan dianalisis secara bertema dan seterusnya ditriangulasikan dengan analisis dokumen. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh guru bagi memastikan sesi PdPR berjalan lancar. Justeru, kepelbagaian kaedah pengajaran guru Bahasa Arab dalam talian yang mengikut keperluan murid telah mempengaruhi penglibatan murid dalam PdP dalam talian. Konklusinya, pelaksanaan PdPR sebagai medium sementara semasa berlakunya pandemik sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada beberapa pihak yang terlibat termasuklah guru, murid dan ibu bapa. Implikasi kajian ini diharapkan dapat membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan PdP untuk semua murid dapat diteruskan walaupun pandemik Covid-19 menimpa negara ataupun pandemik lain yang bakal mendatang

Downloads

Published

11-12-2022