Cabaran dan Manfaat M-Pembelajaran dalam Pendidikan
Mohamad Khairi Ilyas bin Jamalus, Mohd Mahzan bin Awang
Keywords:
M-pembelajaran Cabaran Manfaat Cadangan PenambahbaikanAbstract
M-pembelajaran, juga dikenali sebagai pembelajaran mudah alih, ialah satu bentuk pendidikan jarak jauh yang membolehkan pelajar belajar dan mengakses kandungan pembelajaran melalui peranti elektronik peribadi seperti telefon pintar. M-pembelajaran adalah strategi pendidikan pembelajaran kendiri yang menggunakan kandungan dalam talian digital, termasuk aplikasi, interaksi sosial, permainan dan hab pendidikan. M-pembelajaran menyediakan fleksibiliti untuk belajar tanpa ada had tempat dan masa, memperkasakan pengguna untuk mengakses kandungan pada masa yang diperlukan. Contoh M-pembelajaran yang sentiasa digunakan dalam pendidikan adalah seperti Google Classroom, Youtube, WhatsApp, Telegram, Kahoot dan sebagainya. Walaupun M-pembelajaran mampu memberikan kesan yang positif kepada pendidikan namun begitu masih banyak cabaran yang perlu diatasi untuk mengaplikasikan M-pembelajaran dalam sistem pendidikan. Terdapat tiga cabaran utama dalam menggunakan M-pembelajaran iaitu cabaran kepada guru, cabaran kepada murid dan cabaran teknologi. Terdapat banyak manfaat yang akan diperolehi oleh guru dan murid sekiranya M-pembelajaran dapat dilaksanakan dengan optimum. Sebagai contoh kepada guru M-pembelajaran boleh meningkatkan kemahiran pengajaran dan profesionalisme guru. Manfaat kepada murid pula, M-pembelajaran boleh meningkatkan pencapaian murid. Cadangan penambahbaikan yang boleh dijalankan adalah guru dan murid boleh menyertai kursus pelaksanaan M-pembelajaran untuk meningkatkan kesediaan mereka dalam menggunakan M-pembelajaran. Kesimpulannya semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan M-pembelajaran dapat digunakan secara optimum di negara.